..AKU mohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam.
..Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..
Selawat dan Salam buat junjungan Nabi S.A.W dan para sahabat, tabi'in..
Alhamdulillah..segala puji-pujian atas nikmat dan kesyukuran yang tak terhingga kerana diri ini masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T dalam menikmati bulan yang penuh baroqah, maghfirah..ramadhan kareem buat semua sahabat-sahabiah..
syukran jazilan atas kesudian menziarahi teratak blog ana yang biasa2 ni..dan juga komen2 serta kritikan membina & dorongan..Akramakumullah kathira..
..Sekadar perkongsian di bulan ramadhan yang mulia lagi baroqah..
Takwa yang dimaksudkan dalam firman Allah di atas membawa erti - patuh atau taat setia seorang Islam dalam melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan-larangan-Nya. Mereka yang bertakwa adalah orang yang beruntung, berjaya dan telah sampai kepada darjat yang tinggi dalam ibadatnya kepada Allah.
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.
Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, ''Sebab kebanyakan manusia masuk ke syurga ialah kerana takwanya kepada Allah dan sebab kebaikan budi pekerti''.
Dengan memahami selok belok ibadat puasa ini diharapkan kita yang akan mengerjakan ibadat ini sampai ke tahap 'At-ttwa'. Barulah kita merasa puas dan sempurna akan apa yang kita telah kerjakan.
Tidakkah nanti terjadi seperti sabda Rasululah s.a.w yang maksudnya, "Berapa banyak orang yang berpuasa yang tidak dapat apa-apa dari puasanya, melainkan lapar dan dahaga semata-mata".
Puasa bererti menahan diri daripada makan minum atau bersetubuh atau apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa serta menahan diri daripada perkara-perkara yang sia-sia, menimbulkan syahwat dan juga meninggalkan perkataan-perkataan yang diharamkan, menurutnya dari waktu fajar hingga terbenam matahari.
Puasa adalah latihan bagi membentuk ketahanan diri. Mereka yang sabar dan beriman sahajalah yang dapat melakukannya dengan sempurna dan beroleh balasan pahala yang amat besar. Kita tidak dapat gambaran apakah bentuknya ganjaran dari Allah.
Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraannya - pertama, gembira ketika ia berbuka dan keduanya gembira ketika menemui Tuhannya nanti.
Puasa akan memeliharakan nafsu, penyakit dengki serta memelihara lidah dan segala anggota dari melakukan maksiat dan hati sentiasa terpelihara dari sebarang niat yang serong. Puasa yang dikerjakan berserta iman memungkinkan mencapai kepada keluhuran budi, bersifat sabar, tawakal, pemurah dan bersederhana rasa dan lain-lain sifat yang santun dan mulia.
Puasa sebenarnya melatih diri supaya bersifat sabar, kuat dan tahan menderita menghadapi segala cubaan, kesusahan dan kemurungan yang menimpa diri. Ia juga menguatkan iman kepada Allah, kerana keimanan kita kepada-Nya yang menyebabkan kita sanggup menahan diri dari keinginan syahwat-syahwat jantina dan syahwat tekak pada siang hari dalam masa kita berpuasa. Puasa juga dapat melatih diri menjadi orang yang muqarrabin (hampir kepada Allah). Puasa dapat melatih diri menjadi seorang yang amanah.
Bagaimana tidak, walaupun kita sering bersendirian, jauh dari pemerhatian orang lain, namun kita tetap amanah dan meneruskan puasa kita kerana kita yakin Allah Maha melihat, kita amanah kepada puasa yang sedang kita lakukan dan ia dapat mendidik jiwa mentaati segala suruhan Allah.
wallahu'alam..
No comments:
Post a Comment