When You Lost Your Way To Allah You Should Turn..As HE Promise HE will Always Be There

Tuesday, December 14, 2010

..::KELEBIHAN PUASA 9 DAN 10 MUHARRAM::..


Hadith-hadith tentang puasa hari ‘Asyura (10 Muharram)

Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)

A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.

(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).

Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).

Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)

Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharram)

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9". (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).

Justeru, marilah kita merebut peluang pada kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram".(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).


RUJUK

Friday, December 10, 2010

..::SALAM MAAL HIJRAH 1432H::.


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Selawat dan Salam Junjungan buat Nabi S.A.W..

salam sekencang jihad buat sahabat-sahabiah..

Imam a-Ghazali pernah berkata:

"Hidup jasad kerana roh, hidup roh kerana kerana akal,

hidup akal kerana ilmu,hidup ilmu kerana amal,

hidup amal kerana ikhlas.."


Salam Maal Hijrah 1432H..

moga mendapat rahmat dunia akhirat..berusaha membawah jasad dan

jiwa ke arah kehidupan yang lebih barakah..

semoga kita sama2 mampu melonjakkan diri

ke tingkat taqwa yang lebih tinggi..

insya Allah..Aminn..



Thursday, November 18, 2010

..::SALAM 'EID ADHA 1431H::..



Dalam tenunan busana kehidupan..

Kadangkala kita perlu menyelusuri perjuangan agung..

Nabi Ibrahim..

Mengorbankan kasih seorang ayah..

Demi mimpi yang haq..

Ismail akur kehendak sang Rabbi..

Demi cintanya pada ilahi..

Bersama kita hayati Sirah Agung ini..

Salam 'Aidil Adha 1431H..




Sunday, October 31, 2010

::LA TAHZAN::




Mengapa Harus Bersedih?

Oleh : DR. BADRUL AMIN BAHRON

Allah benar janji-Nya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa.

Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala.

Kalau kita ukur - banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah beri kepada kita.

Firman Allah:

"Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya." - Ibrahim 14:34

Mata, telinga, mulut, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang yang sekitarmu. Apa yang kurang?

Tidak ada apa yang kurang, saudara. Rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup.

Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari kurnia-Nya, mengapa harus berdukacita?

Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik?

Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Tidak mustahil.

Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah.

Firman Allah:

"Jangan takut, jangan berdukacita." - Al-Ankabut 29:33

Kadang-kadang manusia merasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa.

Masalah keluarga yang banyak. Masalah anak, masalah isteri, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu dan sebagainya.

Maka dia bersedih, dia berdukacita, jiwanya tertekan.

Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah?

Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah.

Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidal layak untuk hidup di dunia ini.

Masalah yang besar yang tetap akan kita hadapi ialah hasutan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.

Mungkin kita merasakan bahawa masalah anak yang terlalu menekan.

Anak kita nakal, anak kita degil, anak kita tidak mendengar cakap, anak kita suka melawan, dan sebagainya.

Saudara, bukankah itu mengajak kita berusaha berjihad mendidiknya?!

Dan setiap didikan kita kepada anak kita akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Lantas berusahalah untuk mendidiknya, mengajarnya, mengasuhnya, dengan cara yang terbaik.

Apakah ada masalah yang lebih besar di dunia ini daripada masalah berdepan dengan hasutan syaitan, dengan iblis?

Syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan kejahatan, syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan maksiat.

Itu masalah yang besar. Sebab itu mujahadatun-nafs -- melawan nafsu, melawan syaitan, melawan iblis, itu adalah asas kepada perjuangan jihad manusia di muka bumi ini.

Iblis bersumpah dengan Allah SWT bahawa dia akan mengganggu Bani Adam, dia akan menggoda Bani Adam, dia akan menyesatkan Bani Adam. Mereka akan berusaha melakukan itu secara berterusan, sejak kita kecil, dewasa hingga kembali kepada Allah SWT.

Ini masalah yang perlu kita hadapi. Adapun selain daripada itu anggaplah ia asam garam kehidupan.

Masalah yang kita lalui mematangkan jiwa kita, mematangkan akal kita, mematangkan peribadi kita.

Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah, dia menjadi manusia yang tenang, kerana dia rasa lapang dengan segala penyelesaian yang dia hadapi.

Yakinlah dengan sebarang masalah diserahkan kepada Allah. Kita setakat berusaha, Allah jua yang menentukan.


klik sini

Friday, August 20, 2010

..::Sedia Hadapi Amalan Puasa::..



..AKU mohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam.

..Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Selawat dan Salam buat junjungan Nabi S.A.W dan para sahabat, tabi'in..

Alhamdulillah..segala puji-pujian atas nikmat dan kesyukuran yang tak terhingga kerana diri ini masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T dalam menikmati bulan yang penuh baroqah, maghfirah..ramadhan kareem buat semua sahabat-sahabiah..

syukran jazilan atas kesudian menziarahi teratak blog ana yang biasa2 ni..dan juga komen2 serta kritikan membina & dorongan..Akramakumullah kathira..

..Sekadar perkongsian di bulan ramadhan yang mulia lagi baroqah..

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu, supaya kami menjadi orang yang bertakwa". Demikian maksud firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183.

Takwa yang dimaksudkan dalam firman Allah di atas membawa erti - patuh atau taat setia seorang Islam dalam melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan-larangan-Nya. Mereka yang bertakwa adalah orang yang beruntung, berjaya dan telah sampai kepada darjat yang tinggi dalam ibadatnya kepada Allah.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.

Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, ''Sebab kebanyakan manusia masuk ke syurga ialah kerana takwanya kepada Allah dan sebab kebaikan budi pekerti''.

Dengan memahami selok belok ibadat puasa ini diharapkan kita yang akan mengerjakan ibadat ini sampai ke tahap
'At-ttwa'. Barulah kita merasa puas dan sempurna akan apa yang kita telah kerjakan.

Tidakkah nanti terjadi seperti sabda Rasululah s.a.w yang maksudnya, "Berapa banyak orang yang berpuasa yang tidak dapat apa-apa dari puasanya, melainkan lapar dan dahaga semata-mata".

Puasa bererti menahan diri daripada makan minum atau bersetubuh atau apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa serta menahan diri daripada perkara-perkara yang sia-sia, menimbulkan syahwat dan juga meninggalkan perkataan-perkataan yang diharamkan, menurutnya dari waktu fajar hingga terbenam matahari.

Puasa adalah latihan bagi membentuk ketahanan diri. Mereka yang sabar dan beriman sahajalah yang dapat melakukannya dengan sempurna dan beroleh balasan pahala yang amat besar. Kita tidak dapat gambaran apakah bentuknya ganjaran dari Allah.

Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraannya - pertama, gembira ketika ia berbuka dan keduanya gembira ketika menemui Tuhannya nanti.

Puasa akan memeliharakan nafsu, penyakit dengki serta memelihara lidah dan segala anggota dari melakukan maksiat dan hati sentiasa terpelihara dari sebarang niat yang serong. Puasa yang dikerjakan berserta iman memungkinkan mencapai kepada keluhuran budi, bersifat sabar, tawakal, pemurah dan bersederhana rasa dan lain-lain sifat yang santun dan mulia.

Puasa sebenarnya melatih diri supaya bersifat sabar, kuat dan tahan menderita menghadapi segala cubaan, kesusahan dan kemurungan yang menimpa diri. Ia juga menguatkan iman kepada Allah, kerana keimanan kita kepada-Nya yang menyebabkan kita sanggup menahan diri dari keinginan syahwat-syahwat jantina dan syahwat tekak pada siang hari dalam masa kita berpuasa. Puasa juga dapat melatih diri menjadi orang yang
muqarrabin (hampir kepada Allah). Puasa dapat melatih diri menjadi seorang yang amanah.

Bagaimana tidak, walaupun kita sering bersendirian, jauh dari pemerhatian orang lain, namun kita tetap amanah dan meneruskan puasa kita kerana kita yakin Allah Maha melihat, kita amanah kepada puasa yang sedang kita lakukan dan ia dapat mendidik jiwa mentaati segala suruhan Allah.

wallahu'alam..

Monday, July 12, 2010

..::PEMERGIAN AL-MARHUM UST HAJI IBRAHIM BIN YUNUS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Selawat dan Salam Junjungan buat Nabi S.A.W..


..Salam kunjungan dan salam ukhuwah buat sahabat-sahabiah yg sudi ziarah blog ana..dan juga tidak lupa kepada yang memberi sokongan dan nasihat, teguran membina..syukran jazilan..





..Innalillahi Wa Inna Lillahi Rooji'un..Al-Fatihah buat pemergian Allahyarham Haji Ibrahim bin Yunus, selaku Pengetua SMKA Maa'had Hamidiah, Kajang pada 11 Julai 2010, bersamaan 28 Rejab 1431 H..salam takziah buat keluarga beliau..semoga Roh al-Marhum ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..insya' Allah..

..berita yang baru ana terima pada petang tadi dari adik perempuan ana, cukup memeranjatkan hati ana..sebak..sedih..adik turut berat hati untuk mengesahkan berita tersebut..sehinggalah ana dapat pengesahan dari mesej sahabat adik ana sendiri..terasa bagai baru semalam mengenali Allahyarham..kenangan sewaktu ana menjalani ROS di Maahad Hamidiah Kajang..takkan ana lupakan..sungguh ana merindui untuk kembali berkunjung ke sekolah itu..

Masih jelas di minda ana, kenangan semasa sambutan Majlis Hari Guru, terutama sesi mengambil hadiah saguhati..huhu..kemudian sesi bergambar..dan paling penting, sewaktu kali pertama menjejakkan ke Maahad Kajang sebagai seorang guru pelatih..berbincang tentang pentadbiran sekolah.. dan hari terakhir ana menajalani ROS, berjumpa sekali lagi untuk ucapan terima kasih Dan menghadiahkan cenderamata kenangan kepada sekolah, atas kesudian Allahyarham menerima kedatangan ana sebagai guru pelatih dari UPSI..Alhamdulillah..


..Dan ketika itu juga, Allahyarham kelihatan sangat peramah dengan sesiapa pun..begitu lucu, baik hati..dan adakalanya sempat bergurau senda..terasa indah, terasa syukur kerana ana dapat menjalani ROS di Ma'ahad Hamidiah Kajang..terima kasih untuk segalanya..dengan hubungan guru-guru yang begitu baik..anak-anak didiknya yang sopan, dan berperkerti mulia..Alhamdulillah..hasil didikan dari guru-guru dan "ayahanda" mereka sendiri.. Allahyarham Ust Haji Ibrahim bin Yunus..



Kehilangan beliau sangat-sangat dirasai bagi sesiapa yang mengenali peribadi beliau yang cukup tegas, baik hati, dan lain-lain terhadap didikan, anak-anak didik iaitu pelajar SMKA Ma'ahad Hamidiah Kajang..jasa dan pengorbananmu sebagai seorang guru begitu berharga buat kami..

semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..amin..Ya Rabba 'Alamin..AL-FATIHAH..

SESUNGGUHNYA MATI ITU PASTI, DAN KEDATANGANNYA TANPA DIDUGA..WALLAHUA'LAM..


memori itu..

Tuesday, July 6, 2010

..::Berhati-hatilah Dengan Solatmu::..

“Wahai yang empunya diri, sudahkah selesai mendirikan solat?”

• “Sudah, Alhamdulillah.

Apakah kamu telah berniat dan mengangkat takbir ketika memulakan solatmu?”

• “Ya.”

Apakah ketika kamu memasang niat dan mengangkat takbir itu, kamu rasakan itu mungkin solatmu yang terakhir, kerana mati boleh menjemputmu bila-bila masa?”

• “Tidak..”

“Adakah ketika lidahmu menyebut ‘Allahu akbar’, hatimu turut membesarkan Allah?”
• “Tidak..”

“Kalau begitu, kamu tidak benar-benar berniat dan mengangkat takbir.”

• “….”

“Ketika lidahmu melafazkan doa iftitah, adakah kamu mengiyakannya bahawa hidupmu dan matimu hanya untuk Allah yang Esa?”

• “Tidak..”

“Ketika surah al-Fatihah kamu baca, adakah hatimu bersyukur kepada Allah, Tuhan yang kamu sembah dan tempat meminta pertolongan, lantas kamu memohon diberi petunjuk ke jalan yang diredahi-NYA dan dijauhkan dari jalan yang sesat lagi dimurkai-NYA?”

• “Tidak..”

solat Pictures, Images and Photos


“Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak membaca apa-apa dalam solatmu.”

• “….”

“Adakah kamu telah menyempurnakan rukuk dan sujud serta menjaga pergerakanmu agar tidak mendahului iman?”

• “Ya.”

“Dan ketika rukuk dan sujud itu, adakah hatimu tunduk dengan penuh rasa hina diri ke hadrat Allah dan benar-benar merasakan kebesaran-NYA dan kamu merasakan Allah melihatmu dan menilai solat yang sedang kamu kerjakan?”

• “Tidak..”


“Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak rukuk dan sujud.”

• “…”

“Dalam solatmu, adakah kamu berniat mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan sesuatu amalan juga kebaikan yang paling utama?”

• “Tidak..”

“Dan ketika kamu akhiri solatmu dengan ucapan salam, adakah hatimu berasa takut kalau-kalau solat yang baru kamu kerjakan tidak diterima Allah lalu amalan itu dilemparkan kembali ke mukamu, di samping menaruh harapan agar Dia mahu menilai solatmu sebagai pengabadian darimu?”

• “Tidak..”

“Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak mendirikan solat keranaNYA dan tidak pula mengingati dan mendekatkan dirimu dengan Allah melalui solatmu”.

Berhati-hatilah kerana Allah telah berfirman:

‘Neraka Wail bagi orang yang solat, yang mereka itu lalai dalam solatnya.’ (Al-Ma’un”: Ayat 4-5)

“Astaghfirullahal azim…Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk memperbaiki solatku dan menjadikannya wadah untuk tambah dekat dan hampir dengan-Mu.”

Saturday, June 26, 2010

..::SURAT CINTA UNTUK JIWA::..



Surat ini kutujukan untuk diriku
sendiri serta sahabat-sahabat
tercintaku yang insya' Allah tetap
mencintai Allah dan Rasul-Nya di atas segalanya,
kerana hanya cinta itu yang dapat mengalahkan
segalanya, cinta hakiki yang membuat
manusia melihat segalanya dari sudut
pandangan yang berbeza,
lebih bermakna dan indah.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan
hati sahabat-sahabat tercintaku yang
kerap kali terisi oleh cinta selain
dari-Nya, yang mudah sekali terlena
oleh indahnya dunia, yang terkadang
melakukan segalanya bukan kerana-Nya,

Lalu di ruang hatinya
yang kelam merasa senang jika dilihat
dan dipuji orang,
entah di mana keikhlasannya.

Maka saat merasakan
kekecewaan dan kelelahan kerana
perkara yang dilakukan tidak
sepenuhnya berlandaskan keikhlasan,
padahal Allah tidak pernah menanyakan hasil.
Dia akan melihat kesungguhan dalam berproses.

Surat ini kutujukan pula untuk jiwaku
serta jiwa sahabat-sahabat tercintaku
yang mulai lelah menapaki jalan-Nya
ketika seringkali mengeluh,
merasa dibebani bahkan terpaksa untuk
menjalankan tugas yang sangat mulia.

Padahal tiada kesakitan, kelelahan
serta kepayahan yang dirasakan oleh
seorang hamba melainkan Allah akan
mengampuni dosa-dosanya.

Surat ini kutujukan untuk ruh-ku dan
ruh sahabat-sahabat tercintaku yang
mulai terkikis oleh dunia yang menipu,
serta membiarkan fitrahnya tertutup
oleh maksiat yang dinikmati, lalu di
manakah kejujuran diletakkan?

Dan kini
terabailah sudah nurani yang bersih,
saat ibadah hanyalah sebagai rutin
belaka, saat jasmani dan fikiran
disibukkan oleh dunia,
saat wajah menampakkan kebahagiaan
yang penuh kepalsuan.

Cuba lihat disana! Hatimu
menangis dan meranakah?

Surat ini kutujukan untuk diriku dan
diri sahabat-sahabat tercintaku yang
sombong, yang terkadang bangga
pada dirinya sendiri.

Sungguh tiada satupun
yang membuat kita lebih di hadapanNya
selain ketakwaan.
Padahal kita menyedari
bahawa tiap-tiap jiwa akan
merasakan mati,
namun kita masih bergulat terus dengan kefanaan.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan
hati sahabat-sahabat tercintaku yang
mulai mati, saat tiada getar
ketika Asma' Allah disebut..
Saat tiada sesal
ketika kebaikan berlalu begitu sahaja
saat tiada rasa takut padaNya
ketika maksiat dilakukan,
dan tiada merasa berdosa ,
ketika menzalimi diri sendiri dan orang lain.

Akhirnya surat ini kutujukan untuk
jiwa yang masih memiliki cahaya
meskipun sedikit,
jangan biarkan cahaya itu padam.

Maka terus kumpulkan
cahaya itu hingga ia dapat menerangi
wajah-wajah di sekeliling, memberikan
keindahan Islam yang sesungguhnya
hanya dengan kekuatan dariNya "
Ya..Allah yang maha membolak-balikkan
hati, tetapkan hati ini pada agamaMU,
pada taat kepadaMu
dan dakwah di " JalanMu "

..Wallahua'lam bissowaab..

Semoga dapat membangkitkan iman yang
sedang mati atau jalan di tempat,
berdiam diri tanpa ada sesuatu
amalanpun yang dapat dikerjakan.

Kembalikan semangat itu
sahabat-sahabat tercintaku...
Ada Allah dan orang-orang beriman
..yang selalu menemani di kala hati "lelah"..



Sunday, June 20, 2010

..::Pendedahan Peristiwa Sebenar di Mavi Marmara::..


Video yang dipaparkan di Youtube di atas ini merupakan rakaman yang dirakam oleh lanun Israel yang memaparkan kisah berat sebelah yang menunjukkan mereka diserang dahulu oleh aktivis pro-Palestin yang menyebabkan mereka terpaksa melepaskan tembakan ke arah mereka. Hakikatnya, video tersebut tidak mendedahkan perkara sebenar di sebalik tragedi kejam pembunuhan sembilan orang aktivis dan kecederaan lebih 50 aktivis lain.

Beberapa hari lepas saya berkesempatan menonton satu program bual bicara bersama 12 orang aktivis Malaysia yang berada di atas Mavi Marmara di RTM 1. Para aktivis telah mendedahkan peristiwa sebenar apa yang berlaku diMavi Marmara tersebut. Pelbagai kekejaman dan keganasan teroris Israel telah didedahkan oleh mereka.

Dalam rancangan sama, mereka telah ditanya tentang video di atas dan mereka telah mengakui video di atas memang betul tetapi tidak menunjukkan peristiwa sebenar di sebalik apa yang berlaku. Jika kita tengok video di atas memang kita juga mungkin menyangka yang kenyataan teroris Israel yang mengatakan mereka menembak untuk mempertahankan diri adalah munasabah tetapi jika mengetahui perkara di sebalik kejadian itu nescaya kita akan mula merasa jijik dengan sikap Israel laknatullah itu.

Menurut salah seorang aktivis, kejadian memukul teroris Israel dengan batang besi dan sebagainya hanya bermula selepas teroris tersebut melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup sehingga ada yang syahid. Secara ringkasnya perbuatan aktivis itulah yang benar dikatakan sebagai mempertahankan diri. Bayangkan mereka hanya bersenjatakan batang besi yang dikatakan dipotong daripada beberapa bahagian kapal menentang teroris Israel yang lengkap bersenjatakan senapang dan sebagainya. Siapa yang salah sebenarnya?

Di samping itu, juga didedahkan kronologi dan cerita sebenar yang sangat menarik untuk dikongsikan. Secara ringkasnya, teroris Israel telah memulakan serangan dengan menembak peluru getah ke arah kapal dan juga ada antara tembakan tersebut telah mengena para aktivis yang berada di atas dek. Sebelum itu, para aktivis telah diingatkan oleh pihak penganjur supaya JANGAN MEMBUNUH dalam apa jua keadaan dan perkara ini telah difahami oleh semua.

Selepas kejadian tembak-menembak peluru getah itu, muncul pula sebuah helikopter Israel dan cuba menurunkan beberapa orang teroris ke atas dek. Para teroris tersebut telah 'disambut' oleh beberapa orang aktivis yang telah dengan pantas menarik para teroris dan telah bertindak merampas senapang mereka dan dibuang. Boleh sahaja jika para aktivis menggunakan senapang tersebut untuk menembak tetapi apa yang dibuat ialah senapang tersebut dibuang. Kemudian para teroris yang ditawan telah diikat dan semua kelengkapan ketenteraannya telah dibuang bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Sementara itu, helikopter pertama tadi telah hilang sejurus selepas mereka disuluh oleh lampu spotlight yang dihalakan oleh para aktivis. Teroris TAKUT dan menyangka bahawa mereka akan diserang. Setelah itu, muncul pula helikopter kedua dan lantas melepaskan tembakan rambang dari atas helikopter yang telah membunuh 9 orang aktivis sebelum menurunkan beberapa lagi teroris Israel. Peristiwa inilah yang telah menyebabkan para aktivis bertindak spontan memukul para teroris yang turun dengan batang-batang besi hanya semata-mata untuk mempertahankan diri. Bendera putih juga dikibarkan tetapi tembakan tetap diteruskan. Untuk pengetahuan, tembakan yang dilepaskan tadi juga telah terkena seorang teroris Israel dan betapa mulianya hati para aktivis apabila dia telah diberikan rawatan oleh seorang doktor dari Malaysia!

Setelah itu, kerana bimbang berlakunya lebih banyak kematian, kapten kapal Mavi Marmara telah mengarahkan semua aktivis untuk menyerah diri, duduk, membaca Al-Quran, dan berdoa. Arahan ini telah dipatuhi oleh semua aktivis. Setelah menyerah diri semua aktivis telah diperlakukan dengan kejam. Mereka telah diikat dan semua barang elektronik mereka telah dirampas. Kemudian banyak lagi perbuatan kejam terhadap mereka telah dilakukan oleh teroris Israel sehinggalah mereka dipenjarakan dan akhirnya dibebaskan setelah pihak Israel mendapat ancaman daripada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mengugut akan memulakan serangan terhadap Israel jika para tahanan diapa-apakan. Betapa pengecutnya pihak teroris Israel ini.

Sekian sahaja. Ikuti video di bawah ini pula untuk mengetahui perkara sebenar dengan lebih lanjut!







Beristiqamahlah kita dalam menyokong perjuangan orang Islam Palestin dan saya menyeru kepada semua agar kita sama-sama berazam untuk membantu mereka tidak kira dalam apa jua keadaan mengikut kemampuan kita sehinggalah kita mencapai syahid. Insya-Allah

YA ALLAH HANCURKANLAH REJIM ZIONIS. YA ALLAH BANTULAH UMAT ISLAM DAN PARA MUJAHIDIN DI IRAQ, AFGHANISTAN, PALESTIN DAN SELURUH DUNIA.

Thursday, June 3, 2010

..::PERKONGSIAN: 31 MEI 2010, APA YANG ALLAH NAK AJAR KITA?::..


Semalam masih menghantui saya hari ini. Malam tidur kurang lena. Termimpi-mimpi mereka yang ditawan di Israel sana. Seakan keluarga saya sendiri yang ditawan. Berdebar-debar menanti keadaan nasib mereka.

Hingga hari ini, update yang didapati adalah sangat kurang dan kebanyakannya masih tidak mampu dijelaskan kesahihannya.

Sungguh saya melihat gelombang besar di dalam Facebook apabila kebanyakan news feed galak menceritakan peristiwa 31 Mei 2010. Forward memforward mesej, bertukar-tukar berita, laungan-laungan semangat, celaan dan selaan kepada Israel, kata-kata pembakar kepada kepimpinan dan 1001 macam lagi ekspressi.

Saya memandang jauh. Berhadapan realiti, saya tahu kemenangan tak akan sampai esok.

Justeru saya suka agar yang mengikuti Langit Ilahi belajar dari peristiwa.

31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita?

Di sini kita muhasabah diri dan melihat kunci kemenangan yang sebenarnya.


Hakikat sebuah perjuangan

Mungkin sebelum ini, kita sering sahaja melaung-laung akan perjuangan. Saya masih ingat betapa dari saya kecil, entah sudah berapa orang menyebut, dan entah sudah berapa kali saya dengar, suara-suara yang menyatakan harapan mereka:

“Ana nanti, nak pergi Palestin, bantu orang di sana”

Dan apabila konvoi Lifeline4Gaza bergerak, saya melihat realitinya. Manusia-manusia yang membumikan harapan mereka yang besar lagi tinggi. Mereka ini, kita lihat, akhirnya tersekat di tengah perjalanan ditahan oleh Israel. Lebih memburukkan, diserang dan ada yang terbunuh. Israel dengan berani menuduh pula bahawa orang di atas kapal yang menyerang terlebih dahulu.

Konvoi yang sekadar membawa bantuan kemanusiaan, dilayan lebih teruk dari binatang.
Maka, itulah dia hakikat perjuangan yang sebenar. Punya risiko. Perjuangan bukanlah satu jalan ‘pasti selamat’ yang kita lalui. Tetapi pejuangan adalah satu jalan yang menuntut pengorbanan.
Maka saya suka kita memandang semula kehidupan kita.

Apa yang telah kita korbankan?

Kadangkala, masa lapang pun sukar untuk kita berikan. Harta pun lokek kita kongsikan. Apatah lagi mengorbankan nyawa dengan mengambil risiko berjuang di atas jalan Allah.

Sungguh, kita hanya ada di pinggiran.

Hari ini terjadi, kerana kebodohan semalam

Walaupun saya amat sakit hati dengan tindakan Israel, sikap mereka, dan tindakan konco-konco mereka, saya tetap memandang bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kerana kebodohan ummat Islam itu sendiri sebelum ini.

Kita lihat kehidupan kita. Kita lihat bagaimana keadaan negara-negara yang mencanangkan dirinya negara Islam. Kemudian kita lihat keadaan rakyat-rakyat di dalam negara Islam itu pula. Bagaimana keadaannya?

Kita lihat pula pergerakan-pergerakan dakwah. Bagaimana keadaannya?

Dan kita akan melihat betapa sebelum ini, kita asyik bergaduhan, berpecah belah, larut dalam kemaksiatan, lemas dalam kemungkaran, jauh daripada Allah SWT, tidak mengambil tatacara hidupNya, tidak membumikan ajaran Rasul-Nya, dan melakukan 1001 macam kerosakan baik kepada diri, keluarga, rakan, mahupun negara.

Ummat Islam yang tidak faham Islam menghina-hina Islam. Ummat Islam yang faham Islam pula malas menyebarkannya. Yang menyebarkannya pula bergaduhan akan teritori dakwahnya. Yang bergaduhan, berakhir dengan benci membenci sesama mereka.

Kalau kita semua semenjak dahulu lagi tidak memakai pakaian kemegahan dunia, dan telah menyarung pada diri mereka qamis akhirat, nescaya tiada kebaculan kita, pemimpin-pemimpin kita hari ini yang mampu membuatkan perkara ini terjadi. Kapal kemanusiaan terapung di atas laut tanpa diiringi tentera yang boleh menjaga keselamatan? Itu sahaja sudah menunjukkan betapa negara-negara Islam tidak sensitif dengan semangat rakyatnya sendiri.

Dan lihatlah pula kita. Berapa ramai antara kita yang peka dan sensitif? Berapa ramai antara kita yang mengambil Islam sebagai cara hidup? Berapa ramai pula antara kita yang faham akan tuntutan diri sebagai hamba Allah? Berapa ramai pula yang menyebarkannya? Berapa ramai yang senang bersatu berbanding bergaduh?

Berapa ramai dan berapa ramai?

Sudah nyata, apa yang berlaku hari ini, itu kebodohan kita dahulu.

Dan Allah menunjukkan pembayarannya kepada kita hari ini.

Kita lemah dan tidak berdaya.

Hanya mampu menjerit sahaja.

Allah memperkenalkan wajah sebenar musuh kita

Selamat berkenalan dengan Israel Zionis. Itulah yang mampu saya sebutkan apabila peristiwa kejam 31 Mei 2010 berlaku. Ya, itulah dia Israel Zionis. Saya tak faham jika masih ada lagi yang hendak memberikan justifikasi kepada musuh-musuh Allah itu.

Sungguh, sikap mereka telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran semenjak dahulu lagi.
Kita mungkin sebelum ini menyangka bahawa Israel hanya bermusuh dengan manusia di Palestina. Tetapi itulah kesilapan kita. Hakikatnya Israel bermusuh dengan sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan. Sebab itu mereka tidak teragak-agak membunuh mereka yang ada di atas kapal semalam. Mereka juga tidak teragak-agak membuat tuduhan palsu.

Allah ingin menyatakan kepada kita, itulah dia Israel. Bukannya Israel tidak tahu bahawa kapal itu sedang diperhatikan perjalanannya oleh seluruh dunia. Tetapi mereka tetap berani melakukan sedemikian teruknya. Maka, pastinya lebih teruk lagi telah mereka kerjakan Palestin yang terputus dari dunia dikelilingi tembok kematian.
Itulah dia musuh kita.

Dan itulah dia yang menguasai dunia. Itulah dia yang kita sokong selama ini secara tidak langsung menggunakan hiburan yang melampau, menggunakan dosa-dosa, menggunakan maksiat kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita menjadi askar-askar senyap mereka yang membuatkan merkea kuat hingga ke hari ini.

Sungguh hairan orang yang masih redha dengan kehidupannya yang bernaung bawah kekuasaan manusia yang ingkar dengan Allah SWT jika dia menyedari hal ini.

Jalan kemenangan bukan dengan jeritan

Saya dapat melihat betapa jeritan, laungan, seruan di dalam Facebook atau di mana-mana sahaja berkenaan peristiwa ini akan senyap tidak berapa masa lagi. Forward-memforward gambar akan berhenti. Post-post berkenaan Palestin akan surut kembali tidak lama lagi.

Saya kira, nanti apabila tawanan perang dibebaskan, dunia akan senyap kembali. Alangkan pembunuhan besar-besaran seperti Shabra dan Shatilla yang menggemparkan dunia pun akhirnya senyap begitu sahaja. Apatah lagi 20 orang yang mati di atas kapal yang cuba merentas Gaza tanpa kebenaran Israel?

Ya, itu realitinya. Jiwa ummat terbius. Semangat hanya hangat-hangat tahi ayam. Kita sampai satu tahap rasa telah menang. Menang sorak sahaja hakikatnya. Kita rasa puas dengan membakar bendera Israel. Mendelete lambang-lambangnya di dalam komputer. Menyelar-nyelarnya di dalam internet. Mendoa laknat dan kehancuran untuk mereka.

Tetapi kita lupa, kemenangan memerlukan lebih daripada itu.

Kemenangan perlukan jiwa yang memahami matlamat yang jelas. Kemenangan memerlukan kesatuan yang utuh. Kemenangan perlukan pengorbanan. Kemenangan perlukan perancangan yang bersistematik. Kemenangan bukannya datang sepantas esok apabila kita berusaha hari ini. Kemenangan bukannya datang dengan jeritan-jeritan kita.

Jerit, laung, doa, yang kini hangat di alam maya, itu semua hanyalah pembakar semangat.
Api, tetap akan padam jika tiada bahan bakarnya yang konsisten.

Persoalan utama, apakah kita telah memenuhi ciri-ciri untuk diberikan kemenangan?

Jangan fikir jerit kita, laungan kita, forward-forward gambar kita, semuanya itu bermakna untuk kemenangan seandainya kita sendiri dalam bentuk jasad dan kehidupan tidak bergerak menewaskan Israel di dalam jiwa kita, di dalam tatacara kehidupan kita.

Israel hanya akan tewas, bila ummah dalam kondisinya yang baik.

Maka siapa yang menggerakkan dirinya, memperbaiki dirinya, dan mengajak masyarakat sekeliling agar kembali kepada Allah SWT? Siapa yang menggerakkan dirinya, agar ikhlas bersatu dengan sahabat-sahabat muslimnya yang lain? Siapakah yang mendidik dirinya agar kehidupannya bergerak atas lembayung Allah SWT?

Siapakah yang berusaha untuk menang ini?

Penutup: Apa yang mereka ada, apa yang kita tiada?

Akhirnya, saya suka kita mengambil pengajaran yang mendalam akan hal 31 Mei 2010. Memang Israel kejam. Tetapi jika difikirkan semula, itulah dia tugasan dan kerja musuh-musuh Allah. Bukankah kita yang lebih kejam daripada Israel sekiranya kita hidup bukan dengan kehidupan Islam yang akhirnya membawa kepada kelemahan ummah dan menyebabkan peristiwa seperti ini berlaku?

Saya suka kita memandang zaman-zaman kemenangan Islam. Zaman Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi. Mari kita soal diri kita, apa yang dua zaman itu ada, dan apa yang kita tiada?

Zaman itu ada masyarakat yang hidup betul-betul dengan kehidupan Islam, duduk betul-betul di bawah lembayung redha Allah SWT, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan semuanya tetap menjungjung agama Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Zaman itu ada semua itu.

Zaman kita apa yang ada?

Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.

Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.

Kenapa mereka tidak menang?

Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.

Tidakkah kita mengambil pengajaran?

Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT.




::MUTIARA HIKMAH::

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

::PENGUNJUNG SETIA::