When You Lost Your Way To Allah You Should Turn..As HE Promise HE will Always Be There

Saturday, January 2, 2010

Fenomena gerhana bulan separa tarik 1,500 pengunjung

BERITA HARIAN, JUMAAT, 1 JANUARI 2010, 15 MUHARRAM 1431H

KUALA LUMPUR: Keunikan gerhana bulan separa yang berlaku awal pagi ini menarik perhatian kira-kira 1,500 orang untuk bersama-sama berkumpul melihat kejadian itu di pekarangan Masjid Negara di sini.

Bagaimanapun, pemandangan fenomena itu sedikit terjejas ekoran keadaan bulan yang dilitupi awan.

Bagi membolehkan orang ramai membuat pencerapan, Agensi Angkasa Negara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Falak Syarie Malaysia dan Majlis Mufti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyediakan sebanyak 10 teleskop untuk mereka melihat fenomena itu secara lebih jelas.

Pengarah Pendidikan dan Sains Angkasa Azreena Ahmad berkata bagi yang tidak berkesempatan menyaksikan kejadian itu, mereka boleh menonton siaran ulangan fenomena gerhana bulan separa itu menerusi laman web www.angkasa.gov.my.

Beliau berkata kejadian gerhana bulan boleh berlaku sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.

Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama, bulan melintasi bayang bumi.

Bermula dengan fasa penumbra iaitu bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah pada jam 1.17 pagi waktu Malaysia, kejadian itu bagaimanapun belum menampakkan kesan gerhana memandangkan bulan merentasi bayang penumbra bumi yang kurang gelap selain faktor keadaan langit berawan.

Gerhana, yang dijangkakan jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu bahagian bayang sangat gelap, yang turut digelar fasa gerhana separa pada jam 2.53 pagi juga tidak dapat dilihat.

Bagaimanapun, orang ramai daripada pelbagai kaum setia menunggu untuk melihat fenomena itu sejak 9 malam, tidak hampa dan sanggup beratur panjang untuk menggunakan teleskop melihat gerhana bulan penuh (maksimum) yang mula kelihatan pada jam 3.24 pagi.

Keadaan gerhana bulan penuh itu bagaimanapun hanya berlaku selama 29 minit sebelum bulan dilihat mula keluar daripada bayangan umbra bumi pada jam 3.53 pagi.

Gerhana dijangkakan terus berlaku sehingga 5.28 pagi namun fenomena itu tidak dapat disaksikan dengan mata kasar pada waktu itu kerana bulan berada di kawasan bayang penumbra bumi yang kurang gelap.

Selain fenomena gerhana bulan separa, orang ramai juga berpeluang melihat kemunculan planet Marikh dan Zuhal menerusi teleskop yang disediakan.

Pada jam 2.30 pagi, umat Islam turut menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan, bersempena dengan kejadian gerhana bulan itu.

Azreena berkata gerhana bulan separa juga dapat disaksikan di seluruh Asia dan Afrika.

Katanya, Pada 15 Januari ini, fenomena gerhana matahari dijangka berlaku.

"Sebenarnya, kita mempunyai perkiraan mengenai kejadian gerhana ini," katanya.

Turut hadir untuk melihat fenomena gerhana bulan separa itu ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Sementara itu, Imam Masjid Negara Amru Al-Haz Adnan dalam khutbah khas gerhana bulan meminta umat Islam berdoa agar kejadian gerhana itu tidak memberi kesan kepada cuaca, serta kehidupan di dunia.

"Pada hari ini, kita berkumpul dengan sepenuh harapan agar doa rayuan kita diterima Allah. Semoga Allah memulihkan cuaca selepas gerhana bulan yang kita saksikan malam ini dan kita sentiasa dalam rahmat-NYA hendaknya," katanya.

Muhammad Nizam Shamsury, 26, seorang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) ketika ditemui Bernama berkata pada awalnya beliau agak kecewa kerana tidak dapat melihat gerhana bulan pada dua fasa pertama sebelum ia menjadi gerhana penuh.

"Saya tunggu sehingga habis kerana saya nak tahu proses gerhana itu berlaku. Ini adalah pertama kali saya tengok gerhana cuma tadi saya agak kecewa sedikit kerana bulan dilitupi awan dan tidak dapat melihatnya," katanya.

Bagi Muhammad Ridhuan Che Alim, 27, kesempatan bercuti sempena tahun baru digunakan sebaiknya untuk datang melihat proses gerhana bulan.

"Saya tidak kisah tunggu lama kerana saya nak tengok sendiri macamana gerhana berlaku. Dulu saya tidaklah ambil kisah sangat mengenai perkara ini dan selepas menyaksinya saya mendapat ilmu baru.

"Walaupun agak kecewa kerana tidak dapat melihat dua proses awal kejadian gerhana, tetapi saya berpuas hati dengan penerangan yang diberikan Agensi Angkasa," katanya yang bekerja sebagai Pembantu Perangkaan. - Bernama

No comments:

::MUTIARA HIKMAH::

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

::PENGUNJUNG SETIA::