When You Lost Your Way To Allah You Should Turn..As HE Promise HE will Always Be There

Friday, November 13, 2009

Sultan Mehmet Al-Fateh – Syariatullah dan Sunnatullah





Pada zaman ini umat Islam ditindas dengan begitu teruk sekali oleh musuh-musuh Islam. Apakah penyebab berlakunya bencana ini? Walhal pada suatu masa dahulu, umat Islam pernah hebat dan gah. Apakah kesilapan yang telah dilakukan oleh umat Islam pada masa kini?

وَمَا ڪَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمۡ وَأَنتَ فِيہِمۡ‌ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمۡ وَهُمۡ يَسۡتَغۡفِرُونَ

” Allah tidak akan mengazab engkau selagi Rasulullah ada bersama mu…”

(Surah Al-Anfal : 33)

Di dalam ayat di atas, Allah telah memberikan janji-Nya kepada semua umat Islam bahawa selagi umat Islam bersama dengan Rasulullah saw , umat Islam tidak akan diazab. ”Bersama rasulullah” di dalam ayat di atas tidak memberi maksud bersama dari segi jasad, tetapi bersama dalam erti kata, Rasulullah wujud di dalam kehidupan kita, umat Islam di zaman ini. Wujud dalam kehidupan bermaksud, kita mengaplikasikan apa yang telah di ajar oleh Rasulullah dalam kehidupan kita sehari-hari.

Azab atau bencana yang diterima oleh umat Islam pada masa kini, mungkin adalah satu cara Allah memberikan peringatan kepada kita bahawa, Rasulullah tidak wujud dalam kehidupan umat Islam kini. Mengaku Islam, tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam dengan sebaik-baiknya. Sama-sama kita muhasabah dan tanyakan diri kita, wujudkah Rasulullah dalam kehidupan kita?

Allah telah memberikan petunjuk kepada umat manusia berkenaan jalan keluar kepada sebarang masalah yang dihadapi. Jalan keluar tersebut adalah dengan bertaqwa. Antara firman-Nya yang menyatakan berkenaan hal ini ialah

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا

”Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan tunjukkan kepadanya jalan keluar”

(Surah At-Talaq : 2)

Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa itu?? Berdasarkan dialog antara Ubay bin Ka’ab dan Saidina Umar Al-Khattab, taqwa dapat diandaikan seperti kita berjalan di atas jalan yang berduri. Di mana apabila kita berjalan di atas jalan yang berduri, sudah pasti kita akan berjalan dengan berhati-hati untuk mengelak duri-duri tersebut. Begitu jugalah dengan taqwa. Di mana orang yang bertaqwa adalah orang yang menjaga hukum atau peraturan Allah dalam kehidupannya(berhati-hati dalam kehidupannya).

Definisi taqwa di atas memberitahu kita bahawa pentingnya menjaga hukum atau peraturan Allah. Tetapi, apakah hukum Allah itu?? Adakah kita benar-benar memahaminya??

Hukum atau peraturan Allah

Hukum Allah terbahagi kepada dua iaitu, Syariatullah dan Sunnatullah. Syariatullah adalah hukum Allah berkenaan perkara-perkara yang halal, haram, wajib, sunat, makruh dan lain-lain. Di mana Sunnatullah atau Law of Nature pula ialah hukum alam yang telah ditetapkan oleh Allah. Seperti kejadian siang dan malam, kewujudan graviti, pergerakan bumi mengelilingi matahari dan lain – lain lagi.

Memahami dan melaksanakan syariatullah dan sunnatullah adalah penting bagi umat islam yang menginginkan kejayaan di dunia dan di akhirat. Sebagai contoh, 2 orang pelajar, A dan B akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Pelajar A seorang muslim yang sangat menjaga ibadahnya. Manakala pelajar B pula bukan seorang muslim. Dalam persediaan menghadapi peperiksaan, pelajar A meningkatkan lagi amal ibadah sehariannya tanpa melakukan sebarang ulangkaji. Manakala,pelajar B mengulangkaji pelajaran dengan bersunguh-sungguh. Antara pelajar A dan B, sudah tentu pelajar B akan mendapat keputusan peperiksaan yang lebih cemerlang.

Daripada contoh di atas, kita dapati bahawa pelajar A memenuhi syarat-syarat syariatullah. Pelajar B pula memenuhi syarat-syarat sunnatullah. Di dalam kes ini, sunnatullah yang telah ditetapkan untuk mendapat kejayaan yang baik dalam peperiksaan ialah dengan mengulangkaji pelajaran dengan sebaik-baiknya. Oleh kerana pelajar B memenuhi syarat sunnatullah ini, dia diberikan kejayaan oleh Allah walaupun dia bukan seorang muslim. Jika pelajar A juga melaksanakan sunnatullah, sudah pasti kejayaan pelajar A lebih bermakna. Di mana pelajar A akan mendapat keberkatan dalam kehidupannya atas hasil pelaksanaan syariatullah.

Daripada kisah di atas, pelaksanaan syariatullah 100% dan sunnatullah 100% akan memberikan kejayaan kepada umat islam.

Pembebasan Constantinople

Dalam membicarakan berkenaan kisah pembebasan constantinople, perbandingan kisah antara Abu Ayyub Al-Ansari dan Sultan Muhammad Al-Fateh akan memberikan kita kefahaman yang lebih lagi akan kepentingan sunnatullah dan syariatullah.


Constantinople adalah ibu negara kerajaan Byzantine (Rom Timur). Keistimewaan bandar ini adalah kedudukannya yang strategik di mana bandar ini adalah pemegang kunci pintu masuk dan keluar antara laut mediterranean dan laut hitam pada waktu itu. Bandar ini juga adalah simbol kemegahan bagi orang kristian pada zaman itu. Napolen Bonapart mengandaikan bahawa sekiranya dunia ini adalah sebuah negara, maka constantinoplelah yang layak menjadi ibu negara.

Abu Ayyub Al-Ansari

Bagi yang mengingati sirah penghijrahan nabi, pasti pernah mendengar nama Abu Ayyub Al-Ansari ini. Sewaktu penghijrahan nabi Muhammad SAW ke Madinah, rumah untuk Rasulullah menginap telah dipilih dengan melepaskan unta tunggangan baginda. Unta baginda berjalan dan akhirnya berhenti di rumah Abu Ayyub. Abu Ayyub ialah sahabat nabi yang tinggi akhlaknya dan sentiasa berusaha untuk melakukan setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah.

Sewaktu berlakunya peperangan Khandak, Rasulullah memberi semangat pada sahabat-sahabat di waktu itu dengan sabdanya yang bermaksud, ” Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya ”. Ketika hadis ini dinyatakan oleh Rasulullah, Abu Ayyub Al-Ansari juga berada di situ.

Cubaan pertama pembebasan Constantinople

Cubaan pertama untuk membebaskan Constantinople berlaku pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan pada tahun 44 Hijrah . Muawiyah melantik anaknya Yazid untuk memimpin sekumpulan tentera. Tentera-tentera ini disertai juga oleh beberapa orang sahabat unggul pada zaman itu seperti Ibn Abbas dan Abu Ayyub Al-Ansari sendiri. Pada ketika ini, terdapat beberapa sahabat yang memberi pendapat bahawa tidak perlu untuk pergi misi peperangan yang sudah diketahui tidak akan berjaya, kerana akan mendatangkan kebinasaan. Pendapat ini mereka berikan berdasarkan firman Allah yang berbunyi

وَأَنفِقُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّہۡلُكَةِ‌ۛ

وَأَحۡسِنُوٓاْ‌ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ


“ Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

(Al-Baqarah:195)

Abu Ayyub menentang pendapat mereka dengan menyatakan bahawa at-tahlukah di dalam ayat tersebut bukanlah membawa maksud kebinasaan dalam peperangan tetapi kebinasaan disebabkan sifat bakhil.

Bagi membuktikan kata-katanya itu, Abu Ayyub yang pada waktu itu berumur 80 tahun, menyertai pasukan tentera untuk membebaskan Constantinople. Pasukan tentera ini bergerak ke Constantinple. Setibanya mereka di Constantinople, pelbagai masalah timbul di mana umat Islam pada waktu itu tiada pengalaman berperang di laut sedangkan Constantinople adalah sebuah bandar yang kedudukannya di tepi laut. Tentera Islam pada waktu itu juga tidak biasa berperang dalam cuaca yang sangat sejuk. Lebih penting lagi, tentera Islam ketika itu tidak mempunyai maklumat berkenaan kekuatan pertahanan Constantinople. Perginya mereka ke Constantinople adalah atas keyakinan mereka terhadap janji Rasulullah S.A.W.

Kelemahan-kelemahan ini telah menyebabkan kekalahan tentera umat Islam dan akhirnya Abu Ayyub Al-Ansari syahid dan dikebumikan di pinggir kota Constantinople. Selepas kegagalan percubaan pertama ini, beberapa percubaan dilakukan tetapi tetap menemui kegagalan.

Sultan Mehmet Al-Fateh

Sultan Mehmet ialah pemerintah ke-7 kerajaan Turki Uthmaniyyah. Baginda dilahirkan pada tahun 1432 Masihi. Merupakan anak kepada Sultan Murad II. Sewaktu umurnya 9,10 tahun, baginda mendapat tarbiyyah daripada Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani. Sultan Murad memberi keizinan untuk memukul anaknya itu jika perlu. Apabila Syeikh Al-Kurani memberitahu kepada Mehmet akan hak yang telah diberikan oleh ayahnya itu, Mehmet ketawa lalu Mehmet dipukul oleh gurunya itu. Semenjak peristiwa itu, Mehmet berjaya menghafal Al-Quran dalam waktu yang singkat.

Sultan Mehmet juga mendapat pendidikan daripada Asy-Syeikh Ak Samsettin (Syamsuddin). Asy-Syeikh Ak Samsettin merupakan murabbi Sultan Mehmet Al-Fatih yang hakiki. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Hamzah Ad-Dimasyqi Ar-Rumi. Syeikh Samsettin ialah keturunan Saidini Abu Bakar As-Siddiq. Beliau mengajar Sultan Mehmet ilmu-ilmu asas iaitu Al-Quran, Hadith, Feqah, Linguistik dan juga ilmu kemahiran seperti Matematik, Falak, Sejarah, Ilmu peperangan dan sebagainya.

Sewaktu Sultan Mehmet berusia 14 tahun, baginda telah dilantik menjadi gabenor. Tradisi kerajaan Turki Uthmaniyyah ialah, anak sulung kepada khalifah akan dihantar menjadi gabenor pada usia seawal mungkin sebagai latihan pemerintahan.

Apabila Sultan Mehmet dilantik menjadi Khalifah, baginda mula mengkaji punca-punca kegagalan tentera Islam dalam cubaan untuk membebaskan Constantinople. Baginda juga menyelidik akan kekuatan pertahanan pihak lawan dan keadaan sosial penduduk Constantinople ketika itu.

Keadaan sosial penduduk Constantinople

Sebelum menyerang Constantinople, Sultan Mehmet telah menghantar utusannya, Mahmud Basya berjumpa dengan Raja Constantin ketika itu. Raja Constantin di minta untuk menyerahkan Constantinople dengan aman, tetapi ditolak. Raja Constantin yang merasa risau akan kedudukan kuasanya meminta pertolongan daripada kuasa Eropah Timur. Eropah Timur berjanji untuk memberikan bantuan sekiranya penduduk Constantinople mengikut mazhab ikutan mereka iaitu Kristian Katholik, sedangkan penduduk Constantinople ketika itu berpegang kepada Kristian Orthodoks. Raja Constantin bersetuju dengan perjanjian itu dan menyampaikan berita itu kepada rakyatnya. Rakyat memberontak dan tidak bersetuju dengan perkara ini sehingga ada yang mengatakan ”Kami lebih rela melihat serban-serban Turki daripada topi-topi Latin dari Eropah di kota ini”.

Keadaan ekonomi penduduk ketika itu juga sangat teruk dimana mereka dikenakan cukai yang tinggi. Saintis di kota ini tidak bebas. Banyak saintis dipenjarakan kerana tidak sependapat dengan pihak pemerintah.

Peperangan

Sultan Mehmet berjaya mengumpulkan 250000 tentera untuk menyerang Constantinople. Pada 6 April 1453M Sultan Mehmet Al-Fateh dan tenteranya tiba di hadapan kota Constantinople. Baginda menyampaikan khutbah di hadapan tentera Islam bagi meningkatkan semangat jihad mereka. Pada waktu ini, tentera Islam telah mengepung kota Constantinople tetapi mereka tidak berjaya memasuki pintu utama kota ini yang berada di Golden Horn kerana jalan masuk ke Golden Horn telah dihalang dengan rantai besi raksasa (Garis merah dalam peta di bawah)


Rantai besi raksasa yang menghalang pintu utama ini menyukarkan tentera Islam menguasai Constantinople. Sultan Mehmet Al-Fateh mengadakan perbincangan dengan tenteranya. Ketika ini, Sultan Mehmet Al-Fateh telah memberikan suatu idea yang sangat hebat yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana manusia sebelum ini. Sultan Mehmet Al-Fateh mengerahkan tenteranya membawa masuk kapal-kapal ke Golden Horn melalui jalan darat(Garisan kuning dalam peta di atas). Pada malam itu, tentera Islam dengan semangat yang luar biasa berjaya membawa 70 buah kapal melalui jalan bukit sejauh 3 batu!!

Pada paginya, penduduk Constantinople dikejutkan dengan laungan takbir tentera Islam dari Golden Horn. Mereka semua merasa terkejut dan pelik bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh memasuki Golden Horn. Sehingga ada yang beranggapan Sultan Mehmet menggunakan khidmat jin dan syaitan. Kejayaan tentera Islam memasuki Golden Horn telah menaikkan lagi semangat tentera Islam. Serangan dilakukan dengan lebih hebat lagi dan akhirnya tentera Islam beroleh kemenangan dengan keizinan Allah.

Kemenangan

Sultan Mehmet Al-Fateh segera melakukan sujud syukur di atas kemenangan tersebut. Kemudian baginda pergi ke Gereja Aya Sofya di mana disitu ramai penduduk yang sedang menyembunyikan diri. Kedatangan baginda di gereja itu menimbulkan ketakutan dalam hati penduduk Constantinople. Para paderi ketika itu sujud ke tanah kerana mereka takut akan di bunuh. Sultan Mehmet Al-Fateh meminta paderi-paderi itu berdiri dan baginda menjamin keselamatan penduduk Constantinople. Pada waktu itu, penduduk Constantinople berasa lega kerana mereka yakin bahawa Sultan Mehmet Al-Fateh akan menjadi seorang pemimpin yang adil.

Kesimpulan

Jika dibandingkan cubaan pertama yang disertai oleh Abu Ayyub Al-Ansari dan cubaan oleh Sultan Mehmet Al-Fateh, kedua-dua tokoh ini memenuhi syarat syariatullah. Tetapi, Sultan Mehmet Al-Fateh juga memenuhi syarat sunnatullah. Di mana untuk menang dalam peperangan, strategi dan persediaan yang berkesan adalah sangat diperlukan.

Sultan Mehmet Al-Fateh adalah seorang manusia biasa yang berusaha secara luar biasa. Dengan melaksanakan syariatullah dan sunnatullah, Sultan Mehmet Al-Fateh telah berjaya menjadi pemimpin terbaik sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis Rasulullah S.A.W.

Oleh itu, jika kita ingin membebaskan umat Islam daripada tekanan yang diberikan oleh musuh-musuh Islam, kita perlu menjadi umat Islam yang bertaqwa iaitu yang melaksanakan syariatullah dan sunnatullahnya dengan seimbang di dalam kehidupan.

Wallahu A’lam Bissowab….

http://kuliahnet.wordpress.com

Link Rujukan :

KhairaUmmah.com

sumber:http://www.ipij.info/modules/article/view.article.php?78

No comments:

::MUTIARA HIKMAH::

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

::PENGUNJUNG SETIA::