When You Lost Your Way To Allah You Should Turn..As HE Promise HE will Always Be There

Sunday, March 27, 2011

..::Pelajar UM Muncul Juara Akademi Al-Quran Musim ke5::..



PUTRAJAYA, 27 Mac — Penuntut Universiti Malaya, Mohd Syahriansyah Apin, 25, dinobatkan sebagai juara Akademi Al-Quran Musim Kelima pada pusingan akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam tadi.

Pusingan peringkat akhir yang disiarkan secara langsung oleh TV9 itu menyaksikan pelajar Fakulti Pendidikan Islam tersebut menewaskan tiga peserta lain iaitu Muhamad Nasir Mohamad Salleh, Mohamad Husaini Mahmur, Mohamad Salleh dan peserta tunggal wanita Suhailah Zulkifly.

Mohd Syahriansyah yang berasal dari Sabah membawa pulang hadiah utama dengan nilai keseluruhan RM150,000 yang turut meliputi wang tunai RM30,000, pembiayaan pengajian, senaskhah al-Quran bertinta emas, pakej umrah dan haji, serta perabot jati.
Sementara itu tiga peserta yang ditewaskan beliau, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000, yuran pengajian serta pakej umrah dan haji.

Penyampaian hadiah dilakukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. -Bernama-




Maksudnya:"Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah Yang memelihara dan menjaganya."


Akademi Al-Quran merupakan signature program bagi TV9 dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton sehingga mencecah 1.5 juta penonton telah membuatkan program ini muncul lagi dengan musim kelima. Pada musim terbaru ini, AQ5 bakal menampilkan dua hos berpengalaman, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga merupakan pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan Antarabangsa Al-Quran 2009 serta Mohd Zhafran Zainuldin yang juga merupakan adik kepada Ustaz Mohd Zamri Zainuldin. Kelebihan kedua-dua hos ini ialah mereka amat fasih berbahasa Arab. Akademi Al-Quran 5 akan menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam yang sudah pun bermula sejak 8 Januari 2011 yang lalu dan diterajui oleh penerbit Shukri Ibrahim dan penerbit eksekutif Nuraeshah Malik.

Tujuan diwujudkan rancangan ini adalah untuk melahirkan generasi Al-Quran dengan mendedahkan mereka mengenai ilmu pembacaan Al-Quran, menekankan elemen berlagu serta tarannum dan qiraat tertentu dan paling utama adalah menyemarakkan minat penonton terhadap ilmu Al-Quran melalui satu-satunya rancangan realiti berteraskan Al-Quran.

10 peserta Akademi Al-Quran musim ke-5:

1. MUHAMMAD ARIFF RAZALI, 15, PERAK
2. MOHD ZAKIUDDIN HJ HANAFI, 16, JOHOR
3. MUHAMMAD SHAMIL SHAIKHUDDIN, 17, KELANTAN
4. MOHAMMAD NAJMI BIN YASAK, 19, KEDAH
5. MOHAMAD HUSAINI MAHMUR, 19, NEGERI SEMBILAN
6. MUHAMAD AZLAN SYAH ZAKARIA, 20, PERAK
7. KHAIRUL AMIN HJ KASSIM, 21, KEDAH
8. MUHAMAD NASIR MOHAMAD SALLEH, 21, SELANGOR
9. SUHAILAH ZULKIFLY, 22, MELAKA
10. MOHD SYAHRIANSYAH APIN, 25, SABAH

AQ5 yang menjadi signature program bagi TV9 ini juga memberi peluang kepada 10 pesertanya untuk menjalani aktiviti mingguan menarik yang mungkin tidak pernah mereka lakukan sebelum ini seperti bertemu secara peribadi tokoh agama yang dihormati YBhg Tan Sri Hassan Azahari, melawat Les Copaque iaitu syarikat yang bertanggungjawab “melahirkan” kartun animasi terkenal Malaysia iaitu Uipn & Ipin dan banyak lagi.

Kelahiran program realiti Akademi Al-Quran terbitan TV9 sejak 2006 ini telah berjaya meningkatkan kualiti bacaan Al-Quran secara taranum dengan bimbingan daripada mereka yang pakar dalam bidang tajwid dan qiraat. Selain daripada peserta dapat mendalami ilmu Al-Quran, para penonton juga bertuah kerana dapat berkongsi pembacaan Al-Quran menerusi penerangan dan bimbingan tenaga pengajar dan juri dalam setiap rancangan tersebut.

Sehingga kini, 4 qari hebat telah ditemui iaitu Anuar Hasin yang dinobatkan sebagai Juara bagi AQ1, Abdullah Fahmi Che Nor sebagai Juara AQ2, Fakhrul Radzi Khamaruddin sebagai Juara AQ3 dan baru-baru ini Juara AQ4 menjadi milik Ahmad Tirmizi Haji Ali.

AQ5 yang mempunyai 12 episod ini turut menampilkan tiga juri berpengalaman dan pakar di dalam bidang tertentu seperti Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat) dan Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) yang sememangnya telah menjadi juri tetap program ini dari musim pertama. Sementara Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar pula merupakan juri baru yang akan memantau tajwid dan fasohah para peserta kelak.

Menariknya musim kelima ini, penonton berpeluang untuk mengenali 10 bakal peserta AQ5 menerusi Nota AQ5 yang akan disiarkan selama tiga minit pada setiap Isnin hingga Jumaat iaitu pada jam 7.57 pagi dan ulangannya pada 10.57 malam. Penonton akan bersama-sama peserta menimba satu pengalaman baru di mana menerusi segmen ini, ia mengupas tentang perkara seharian yang kita lakukan selama ini yang secara tidak langsung memberi kesan di dalam kehidupan harian kita. Contohnya berkaitan pemakanan, pembacaan dan pentafsiran Al-Quran.

Sementara itu, Di Sebalik AQ5 juga turut diperkenalkan pada musim ini dan akan disiarkan selama setengah jam pada setiap Jumaat pada jam 6.30 petang. Menarik tentang Di Sebalik AQ5 ini, penonton dapat melihat gelagat peserta dan juga perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas tarannum, tajwid dan qiraat dan juga perkara-perkara yang berlaku di dalam kelas.

Teruskan menonton Akademi Al-Quran pada musim akan datang menerusi stesen TV9, saluran Di Hatiku..insya Allah..

Semoga program realiti keagamaan seperti ini terus bertapak di negara kita, selain itu program Imam Muda di Oasis Astro turut menarik minat hati ana yang berjaya menarik perhatian media antarabangsa..alhamdulillah..

..::Tinta Murabbi::..



Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih..Selawat dan Salam buat Junjungan Nabi S.A.W..

Alhamdulillah..syukur atas nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T..aku masih mampu bernafas sehingga ke hari ini..moga2 hari ini lebih baik dari semalam..insya’ Allah...

Dalam kesibukan melayari alam bahtera seorang murabbi..
Pelbagai dugaan,cabaran yang datang..adakalanya ana tak mampu untuk menghadapinya..

“baru 1bln lebih mengajar,takkan mudah sangat give up..ini baru sikit..”(monolog hati)

“..Ambil sebagai positif..ana nak bantu enti..”(kata seorang mursyid ku)

Lalu, ana dengan menarik nafas dalam-dalam..dan berdoa dalam hati.. “moga-moga aku dapat terima ia sebagai kritikan membina untuk diri ini..”

Input yang penting ku catitkan dalam diariku..moga-moga ia sebagai peringatan bahawa ana perlu bersedia pada bila-bila masa..

Selama 1jam lebih kurang, pelbagai komen,dan kritikan yang ku rasakan banyak kelemahan yang perlu diperbaiki..dan bukan perlu diperbaiki lagi, tapi perlu usaha lebih lagi untuk meyakinkan mursyidku itu..(dalam hati, Ya Allah..bagaimana harus aku jadi seperti “murabbi” yang diharapkan..??efektif?kreatif?dan lain-lain..)..kecindan..?eh, apa 2 kecindan?sejenis makanan ke..ehh,bukan....

Kecindan: Seseorang guru tidak semestinya garang dan tidak pula terlalu lembut dengan murid-muridnya tetapi apa yang disukai oleh pelajar ialah guru yang mempunyai unsur kecindan dalam penyampaian. Unsur kecindan ialah kata-kata atau perlakuan yang berunsur jenaka yang tidak keterlaluan bertujuan untuk menimbulkan rasa seronok serta menghilangkan tekanan sewaktu berlakunya sesi pengajaran dan pembelajaran.

ia suatu sifat yang ku rasakan satu “advantage” jika ada dalam diri seorang murabbi..mampukah…??

Hati mula berlagu sedih..terasa ingin menangis sepuas-puasnya..rasa tidak mampu untuk terus pikul amanah ini..~down..mula give up..~

Hari menjelang habis persekolahan, tidak tahan rasanya untuk terus pergi program pada petang itu..dengan tekanan perasaan, sakit kepala yang membebankan jiwa ini..terasa beban yang ku rasakan tidak tertanggung..(ya,aku perlu rehatkan diri sebentar..)

Allahu Robbi..kuatkan lah diri ini..akhirnya, ana terlena sehingga masuk waktu asar..astaghfirullah..(aku perlu mohon maaf pada mereka..)

Alhamdulillah, ana mula ok sedikit..walaupun, masih bahang masih terasa, kepala yang masih berdenyut-denyut..(ya, aku perlu kuat..) “..innAllaha ma’a soobirin..~ana kuatkan untuk terus perjuangan pada esok hari..moga-moga hari esok lebih baik dari semalam..

dan ana cukup terharu, ramai anak murid ana terus bertanya..terasa dihargai..^_^

"ustazah, mcm mana tadi..?so far ok??"

"ustazah, lulus ke semalam..??

ana tersenyum sendirian, "..alhamdulillah ok.."(jawabku)walhal..dalam hati, hanya Allah yang tahu..)

Dua hari (setelah diobserve), pengalamanku..ana rasakan ana gagal untuk mengatasi kelemahan yang terjadi..kadangkala, ok..adalakanya tidak..tapi sering kali tewas dgn mainan perasaan sendiri..(bagaimanakah..?)..kuatkan diri..istiqamah….

..mungkin ini sebagai hukuman, atau ujian yang Allah beri untuk menjadikan aku terus kuat..be positive..think positive..la yukalifu Allahu nafsan illa wus’ahaa..

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".

(Surah al-Baqarah 2: 286)


sekadar perkongsian..wassalam..




Friday, March 18, 2011

mendamba kasih ilahi menuju cinta hakiki

wassalam

Monday, March 14, 2011

..::MENCARI KEDAMAIAN HATI::..



OLEH: USTAZ PAHROL MD. JUOI

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang.

Ada orang berkata, "ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?"

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).

readmore Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli

Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af'al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

Dimensi Kata, Rasa Dan Tindakan

Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi "hadiah" kepadanya.

Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah At Tahrim: 8)

Firman Allah lagi:

"... Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah Al-Baqarah: 222)

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita?

Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Rasa kehambaan. Rasa bertuhan. Memahami maksud takdir. Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.

Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Rasa Kehambaan

Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah.

Firman Allah:

"Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman." (Surah At Taubah: 51)

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita "memberontak" hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah "memberontak" kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya.

Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu "demonstrasi" seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja' – innalillah wa inna ilaihi rajiun.

Firman Allah:

"...Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali." (Surah Al-Baqarah: 156)

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja'?


Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Rasa Bertuhan

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah.

Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, "la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!"
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.

Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.

Firman Allah:

"Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat." (Surah Al-Baqarah)

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang.

Firman Allah:

"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah Al-Fath: 4)

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

Maksudnya: "Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan." – Al Hadis

Memahami Maksud Takdir Allah

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu.

Ungkapan yang terkenal: We can't direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita adalah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:

"Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah : 216)

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, "barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.

"Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan... mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih "kerja Tuhan" yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: "It's not what happens to you, but it's what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!"

Mendapat Hikmah Bila Diuji

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh "mehnah" – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!"

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.

Firman Allah:

"Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" (Surah Al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.

"Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti.

Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.

Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.

Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat... hanya berada di dalam hati sendiri!




::MUTIARA HIKMAH::

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

::PENGUNJUNG SETIA::